KOTA BHARU – Semua pemain pasukan The Red Warriors  dijangka  akan mula melaporkan diri esok, bagi memulakan sesi latihan  pra musim  sebagai persiapan pasukan itu untuk mempertahankan  kejuaraannya.
Ketua jurulatihnya, B. Sathianathan  berkata, sesi latihan tersebut  bermula sehari selepas kesemua pemain  berbuat demikian termasuklah tiga  muka baru.
Menurutnya, tiga pemain tersebut yang  akan memperkuatkan The Red  Warriors ialah Nurul Azuan Roya (Johor FC).  K. Soley (Perlis) dan  Mohamad Abdul Aziz Ismail (KL Plus).
“Pemain yang ada sudah mencukupi,  setakat hanya tiga pemain itu  sahaja yang dibawa masuk seperti yang  diumumkan oleh Presiden Persatuan  Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri  Annuar Musa.
“Kemasukan tiga pemain ini dilihat akan  memantapkan serta  memperkukuhkan lagi barisan pemain yang sedia ada  dalam pasukan,”  katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambahnya, kesemua tiga pemain tersebut mempunyai pengalaman yang luas dalam kancah liga tempatan.
“Walaupun mereka bukan nama besar dalam  kancah liga tempatan, namun  saya yakin kehadiran tiga pemain ini akan  memberikan impak buat pasukan  untuk musim hadapan.
“Harus diingat untuk menjadi sebuah  pasukan yang kuat dan stabil  memerlukan lebih dari sebelas pemain yang  boleh beraksi bila  diperlukan,” ujarnya.
Jelasnya, barisan pemain yang ramai  memberikan kelebihan buatnya  untuk membuat pilihan bagi membentuk  gandingan mantap dalam pasukan.
Bekas jurulatih kebangsaan itu  memberitahu, untuk musim hadapan  beliau akan memberikan peluang kepada  pemain-pemain pelapis untuk  membarisi skuad utama.
“Berdasarkan pemerhatian yang dibuat, saya lihat ada tiga pemain muda yang boleh di ketengahkan untuk musim hadapan,” katanya.
Sathianathan turut menegaskan untuk musim hadapan The Red Warrios  bakal kehilangan dua peledak berbisanya iaitu Hairuddin Omar yang   berhijrah ke Negeri Sembilan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli ke Perak.
Katanya, ketiadaan dua penyerang berbisa  itu memberi cabaran kepada  beliau untuk menggilap bakat baru bagi  mengisi kekosongan yang  ditinggalkan bekas penyerang negara itu.
“Inilah peluang terbaik buat pemain yang  jarang beraksi seperti  Ramzul Zahini Adnan, Nizad Ayub dan beberapa  pemain lagi untuk  membuktikan kemampuan bahawa mereka layak untuk  membarisi kesebelasan  utama.
“Seperti yang ditunjukkan oleh Khairul  Fahmi, dia telah menggunakan  peluang yang ditinggalkan oleh Syed Adney  Syed Hussin dengan beraksi  cemerlang sehingga dipilih sebagai penjaga  gawang utama negara,”  katanya
 
latih2 kuat2 sikit ye klate..tkt tahun depn terkalah ngn n9 pulak..hahha
ReplyDelete